Friday

Kenali Apa Itu Cloth Diapers (CD) dan Jenis2nya

Di sini saya ingin berkongsi sedikit maklumat asas tentang lampin kain, atau lebih dikenali dengan Cloth Diaper (CD). Bagi ibubapa yang masih baru dalam bidang CD ni, adalah amat penting bagi anda untuk mengetahui ciri-ciri asas CD sebelum menggunakannya pada putera & puteri anda.

Kini, penggunaan Cloth Diaper/lampin moden semakin meluas di kalangan ibubapa yang sedar akan kebaikannya. Di samping ia baik untuk memastikan kesihatan anak terjamin, ia juga memberi penjimatan yang sangat baik dalam perbelanjaan lampin bayi anda. Kini, keperluan asas penggunaan lampin kain telah banyak berubah. Jika dulu mak-mak kita menggunakan lampin kain cotton yang diikat dengan getah, kini kita tidak perlu lagi menggunakan semua tu kerana kehidupan ibubapa sudah dimudahkan dengan penciptaan CD alaf baru.

Hari ini, bahagian luar CD diperbuat dari pilihan fabric yang terbaik di pasaran. Ia lembut, tahan lasak, bersih dari segi rupa dan baunya, dan mudah digunakan, dijaga dan dicuci. PUL atau fabric polyurethane laminate dicipta untuk menghalang kebocoran (kalis air) dan memastikan ketahanan di dalam mesin basuh dan pengering.

Bahagian dalamnya pula dilengkapi dengan poket sebagai tempat untuk memasukkan insert yang berupaya menyerap sehingga 4 kali basahan. Penggunaan
kain serat mikro (microfiber) pada insert menjadikan lampin kain lebih menyerap. Ia dilapisi dengan kain microfleece dan suede yang mesra dengan kulit bayi dan menarik cecair jauh dari kulit bayi. Hasilnya, apabila anda menanggalkan lampin, anda dapat melihat sendiri kulit bayi masih dalam keadaan kering. Selain itu, ia juga kalis kotoran. Najis bayi akan mudah tanggal tanpa perlu direndam. Hanya bilas, dan simpan sehingga anda sedia untuk mencucinya.

Untuk melekatkan lampin, ia didatangkan dengan butang katup (snap buttons) dan aplix (zap-on) yang lembut dan tidak mencalarkan kulit bayi. Kerja menukar lampin akan menjadi mudah dan cepat.

Dengan CD, penggunaan pin sudah tidak diperlukan lagi kerana pin sudah digantikan dengan Snappi Diaper Fastener. Ia diperbuat dari bahan mudah lentur, tidak toksik yang berbentuk T yang panjang dan mempunyai cangkuk plastik di setiap hujungnya. Ia memastikan bayi anda boleh bergerak dengan selesa dan lampin tidak tanggal.

Terdapat banyak jenis lampin kain di pasaran sekarang:

1. Prefolds dan Flats – lampin 4 segi yang tak perlu diperkenalkan lagi. Dipakaikan kepada bayi menggunakan Snappi atau pin. Prefold (pralipat) diperbuat dari kain kapas yang sama, tapi dengan sedikit usaha menjahit lampin supaya bahagian tengahnya tebal, supaya serapan berada di tempat ia benar-benar diperlukan. Ini merupakan pilihan yang termurah dan paling tahan lasak dalam penggunaan lampin kain.

2. Fitted Diapers – berbentuk seperti lampin pakai buang. Ia dijahit supaya terus muat dipakai, dan kena dengan namanya, “fitted”. Ia juga dibina dengan butang katup dan aplix supaya memudahkan pemakaian. Terdapat juga lampin fitted yang berpoket, bagi memberi kebebasan ibu bapa menentukan serapan yang diperlukan. Ia tidak kalis air dan berelastik di kangkang dan pinggang. Ia perlu dipakai dengan cover diaper. Kain yang biasa digunakan untuk membuat fitted ialah kain kapas tenun, flannel(seperti kain kapas selimut bayi), hemp, kain tuala, sherpa, kain dari buluh dan velour (lembut seperti baldu).

3. Pocket Diapers aka Lampin Kain Berpoket – lampin kain yang dijahit dengan poket atau ruang disebelah dalam untuk memasukkan insert atau apa-apa sahaja yang menyerap. Insert digunakan untuk menyerap cecair apabila bayi kencing. Insert boleh dikeluarkan untuk dicuci. Pocket diaper merupakan ‘favourite’ kebanyakan ibu bapa yang menggunakan system lampin kain moden.

4. All-in-Ones (AIOs)– Seperti namanya, lampin ini boleh terus digunakan dan tak perlu ditambah apa-apa aksesori lagi. Ia versi kain kepada lampin pakai buang. Kini, anda sudah ‘pakar’ dalam jenis-jenis lampin kain moden.


0 comments: